Monday, April 5, 2010

Program susu sekolah ditangguh sehingga pengilang patuhi syarat

KUALA LUMPUR: Program Susu Sekolah (PSS) akan ditangguh sehingga pengilang terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil "Hazard Critical Control Point" (HACCP), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan antara kementeriannya dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menetapkan pemerolehan sijil tersebut bagi mengelakkan berulangnya kes keracunan susu di sekolah.

"Sejak dua tahun lalu, kementerian dan KKM sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan lakukan audit ke atas pengilang tetapi sampai hari ni pengilang masih belum buat penambahbaikan atau pengubahsuaian seperti yang disyaratkan oleh pensijilan HACCP.

"Oleh itu adalah wajar program ini ditangguhkan sementara waktu," katanya menjawab soalan Chua Tee Yong (BN-Labis) yang ingin tahu bila PSS akan disambung semula dan langkah untuk mengatasi masalah keracunan susu, di sini.

Wee juga berkata, hanya terdapat satu pengilang susu di Semenanjung Malaysia iaitu Dutch Lady dan selepas tiga pengauditan dibuat dalam tempoh dua tahun, KKM telah menghantar surat kepada Kementerian Pelajaran bahawa kilang tersebut masih belum mematuhi syarat seperti yang dijanjikan.

"Maka disebabkan itu, kita tidak dapat meneruskan program ini," katanya.

Selain pengilang, katanya kerajaan turut menitik beratkan rangkaian pengagihan susu ke sekolah termasuk cara mengangkut dan menyimpan bekalan susu yang telah diterima.
"Tiga aspek ini perlu diberi perhatian. Kalau sekolah yang besar, 'chiller' perlu dibekalkan untuk memastikan susu yang segar, bukannya susu basi dibekalkan kepada pelajar miskin," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment