Wednesday, May 19, 2010

Pukul anak biar berpada


KUALA LUMPUR: Ibu bapa masih mempunyai pelbagai pilihan mendidik anak termasuk memukul, namun tindakan itu tidak boleh keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan dan boleh diklasifikasikan sebagai penderaan.

Peguam Kanan Persekutuan Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, berkata ibu bapa perlu bijak mendidik anak bukannya mengikut emosi dan panas baran.

Menurutnya, memukul anak secara keterlaluan dan mendatangkan kecederaan boleh mengakibatkan ibu bapa terbabit didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang.



“Ibu bapa boleh memukul dengan tujuan mendidik saja bukannya mendera dan mencederakan anak. Jika memukul dalam keadaan sangat teruk, ibu bapa terbabit boleh dituduh mendatangkan kecederaan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan, akibat mengajar anak, vokalis kumpulan rock XPDC, Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di Tangkak, Johor, selepas mengaku bersalah mencederakan anak perempuannya yang berusia 16 tahun di rumah isterinya di Tanjung Agas, 9 Mei lalu. Mael, 42, yang lebih dikenali sebagai Mael XPDC mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Salina Omar. Dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada anaknya di sebuah rumah di Jalan Ahmad, Tanjung Agas pada jam 7.30 malam sebelum dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Mahamad Naser berkata, dalam aspek perundangan syariah juga ibu bapa tidak dibenarkan mengambil tindakan keterlaluan dan mendatangkan kecederaan kepada anak.

“Walaupun anak terbabit tidak mengerjakan ibadat seperti solat, masih tidak boleh dipukul dengan teruk. Sama juga dengan mencuri, misalnya anak terbabit mencuri wang ibu bapa, dia tidak boleh dipukul teruk tetapi hanya pukulan ringan sebagai pengajaran di tapak tangan tidak mengapa,” katanya.

Justeru katanya, ibu bapa perlu berhati-hati dengan setiap tindakan yang diambil dalam proses pendidikan anak supaya anak tidak menjadi mangsa dera manakala ibu bapa terselamat daripada tuduhan mendera.

Katanya, ibu bapa sewajarnya mengutamakan kaedah bersifat intelektual dalam proses mendidik anak kerana ia lebih sesuai terutama pada zaman sekarang.

Oleh Idris Musa
2010/05/19
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukulanakbiarberpada/Article

No comments:

Post a Comment