Wednesday, December 8, 2010

Kertas kabinet mengenai cuti bersalin swasta dibentang Januari ini

KUALA LUMPUR -- Cadangan cuti bersalin selama 90 hari mengikut pilihan bagi pekerja sektor swasta akan dibawa ke kabinet pada Januari depan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata kertas kabinet mengenainya akan dibentangkan untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri bagi membolehkan Kementerian Sumber Manusia meminda Akta Pekerjaan 1955 dalam usaha memberi jumlah cuti bersalin yang sama kepada pekerja swasta, seperti yang ditetapkan bagi pekerja sektor awam.

"Kita sedang menyediakan kertas kabinet dan selepas dua minggu dalam bulan Januari ini ia akan dibentangkan. Jadi selepas itu mereka (Kementerian Sumber Manusia) kena bawa ke Parlimen," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Wanita 2010 oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Shahrizat berkata kementeriannya juga akan membawa satu lagi kertas kabinet berkenaan isu meningkatkan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat.

"Saya amat tidak puas hati bila tengok wanita yang diberi tempat dalam board (lembaga) termasuk GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Kenapa tidak (diberi tempat) walhal wanita ramai sekali yang mempunyai kebolehan.

Beliau berkata perincian kertas kabinet itu juga akan memasukkan pelan strategi dalam masa beberapa tahun tentang jumlah peratus wanita yang mesti berada di dalam barisan anggota lembaga pengarah syarikat di bursa saham.

"Kita akan mengambil kira tentang situasi pasaran dan strategi dalam perkara ini. Contohnya dalam masa lima tahun di mana wanita akan berada dalam tempoh berkenaan.

"Bukan (permintaan secara) mendadak, sebab tak boleh buat macam itu kerana ia akan menjejaskan pasaran dan lain-lain. (Cadangan ini) supaya semua pihak boleh membuat persiapan," katanya.

Beliau berkata selepas 10 tahun kementerian itu diwujudkan, agenda wanita semakin dipandang serius di mana ia sudah menjadi satu agenda kritikal di dalam kerajaan, politik, ekonomi dan semua aspek pembangunan negara. -- BERNAMA