Friday, April 16, 2010

Bayi tercekik bebola ikan

TAMPIN: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut dipercayai akibat tercekik bebola ikan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Jalan Cantik di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa, Wan Nur Alif Wan Arif Fadhla terpaksa dikejarkan ke Hospital Tampin kira-kira 50 meter dari taska itu untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sejurus tiba.



Sumber berkata, mangsa yang juga anak bongsu daripada dua beradik dihantar ke taska berkenaan oleh ibunya yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di sini, kira-kira jam 7.30 pagi untuk dijaga pengasuh berikutan ibu dan bapanya bekerja.

“Bayi itu tiba-tiba tercekik bebola ikan sebesar ibu jari yang dibelah dua menyebabkan dia terjatuh sejurus selepas itu.

“Pengasuh yang menyedari kejadian itu membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan, tetapi disahkan sudah meninggal dunia,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, pihak berkuasa mengenal pasti bagaimana bayi itu boleh tercekik bebola ikan yang menjadi antara menu makanan pagi di taska itu, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Wan Arif Fadhla Wan Yusof, 41, ketika ditemui di perkarangan Hospital Tampin, berkata dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi isterinya kira-kira jam 11.15 pagi memaklumkan kejadian menimpa bayi mereka.

“Saya terima panggilan daripada isteri (Nur Azita Ibrahim, 31,) memberitahu tubuh anak kami dalam keadaan kebiru-biruan dan sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Sebaik tiba, pihak hospital memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia kerana tidak dapat bernafas akibat tercekik bebola ikan,” katanya kakitangan Jabatan Penerangan Daerah Rembau itu.

Dia kesal dengan kecuaian pengasuh terbabit menyediakan sarapan bercampur bahan sebesar ibu jari dan diberikan kepada bayi sekecil anaknya.

Katanya, jenazah anaknya dibawa pulang ke kampung asalnya di Marang, Terengganu untuk dikebumikan.

Berikutan itu, Wan Arif Fadhla membuat laporan di Balai Polis Tampin kira-kira jam 12 tengah hari.

Sementara, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Hooi Cheng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, polis sudah membuka kertas siasatan dan akan memanggil pengusaha taska terbabit untuk merakamkan keterangan.

Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah ketika dihubungi, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian itu.

Katanya, mengikut rekod JKM, walaupun taska terbabit sudah beroperasi sejak beberapa lama, pihak pengurusan baru saja memohon untuk didaftarkan dan kini masih dalam proses.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayitercekikbebolaikan/Article
Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my
2010/04/15

1 comment:

  1. Pelajari bagaimana untuk melakukan heimlich maneuver untuk orang tercekik: http://www.ehow.com/how_14949_heimlich-maneuver.html

    ReplyDelete