Monday, April 5, 2010

Budak maut tertelan anting-anting

REMBAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut akibat tertelan sebentuk anting-anting di rumahnya di Taman Pedas Indah, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Rabu lalu, R Arrokiya Nathan dipercayai mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pedas, dekat sini kerana anting-anting berkenaan tersangkut sebelum mencucuk kerongkongnya.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu dikatakan bermain dalam bilik bersama seorang adik perempuannya berusia tiga tahun, manakala ibu saudaranya berusia 30-an sedang tidur di bilik sama.


Ibu saudara kanak-kanak terbabit yang terjaga dari tidur terkejut melihat anak saudaranya batuk dan muntah darah lalu memberitahu ahli keluarga lain.


Berikutan itu, mangsa terus dikejarkan ke sebuah klinik desa berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum kanak-kanak itu dirujuk ke Klinik Kesihatan Pedas dan mati ketika dalam perjalanan.


Ahli keluarga pada mulanya tidak mengetahui punca sebenar kanak-kanak itu mengalami muntah darah sehinggalah satu anting-anting ditemui dalam kerongkong mangsa.


Ketua Polis Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, mayat kanak-kanak berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.


“Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu mati kerana tertelan anting-anting yang tersangkut dan mencucuk kerongkongnya.


“Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR) dan menolak wujudnya unsur jenayah di atas kematian kanak-kanak itu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.


Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap kematian mangsa.


Menurutnya, polis menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati bagi mengelak tragedi dialami kanak-kanak itu berulang pada masa akan datang.


“Ibu bapa dinasihatkan supaya menyimpan barang-barang yang berbahaya di tempat selamat bagi mengelak ia disalahgunakan sebagai alat permainan untuk anak-anak kecil mereka.


“Mereka (ibu bapa) mesti menitikberatkan aspek keselamatan dan memberikan pengawasan yang lebih terhadap anak kecil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Budakmauttertelananting-anting/Article

No comments:

Post a Comment